Saturday, June 20, 2009

Hari Bapa

Saya tidak pernah menyambut dan mengucapakan Hari Bapa kepada ayah saya. Mengapa? zaman dahulu tidak disebutpun adanya hari bapa. Kini setiap Jun 21 tertulislah Hari Bapa. Hari untuk menghargai bapa dan meraikannya. Syabas kepada manusia moden dapat mencipta hari bapa. Dapat juga satu hari tanpa segan silu mengucapkan "Selamat Hari Bapa".
Saya teringat pada tahun 1964 emak saya meninggal dunia. Ayahlah menjadi ayah dan ibu pada keluarga ini. Saya anak yang tua ketika itu berumur 13 tahun. peli 11 tahun, allahyarham Normah 9 tahun, Bulat 8 tahun, Othman 3tahun dan Hassan 6 bulan. Ayah menoreh getah dan membuat kerja rumah. Kami tidak pernah lapar dan kami bahagia. Rumah kami seperti kapal pecah, berselerak dan tidak berkemas. Ayah tidak mampu melakukanya semua itu. Adik-adik tidak tahu lagi untuk berkemas. Masih saya ingat adik perempuan mempunyai kutu di kepala dan kami hanya tahu menyikatnya sahaja. Orang di sekeliling membiarkan sahaja. Hanya mengata dan tidak membantu. Ayahku sangat gigih. Aku meneruskan persekolahan.
Ayah kahwin. Ibu tiriku juga dapat membantu untuk menguruskan keluarga ini. Pastinya ada masalah. Kami anak yang tidak terurus. Ayah dan adik-adik berpindah ke Kampung Batu Berangkai, Kampar dari Kg. Lengkuas. Ayah memulakan kerja sebagai "jaga Motor" bermaksud menjaga jentera pam air lombong bijih timah. Waktu tidak bekerja ayah mmenjual ayam.
Kami tinggal di soyok surau dan dapurnya behampiran surau itu. Ayah sangat gigih. Mengumpul duit dan membuat rumah di tapak sekarang ini. Ayah Kahwin lagi selepas bercerai dengan ibu tiri yang dahulu. Rumah kami tanpa elelterik, dan sangat daif. Apapun itulah rumah kami. Kami dibesarkan dirumah ini. Ayah sangat gigih. Ayah bekerja 24 jam dan cuti 24 jam. Waktu cuti ayah menjual ayam dan buah-buahan. Pernah saya mengikut ayah membeli rambai di Chenderiang. Saya memanjat dan ayah mengumpulkannya. Lepas itu ayah dan saya menjualnya di Mambang diawan, Kampar. Saya rasa sangat letih. Bayangkan menaiki basikal dari kampar ke Chenderiang terus ke Mambang diawan dan balik semula.
Ayah sangat gigih.
Saya mula bekerja. Menghantar wang kepada ayah. Yang tidak dapat saya lupakan. Saya memberikan wang gaji pertama saya sebagai guru sebanyak RM 100.00. Ayah merenung saya dengan renungan yang tidak sapat saya gambarkan. Ketika itu gaji ayah sebagai Jaga motor sebanyak RM 90.00. Ayah diam dan balik ke kampar. Kami terus membesar.
Kini segalanya tinggal sejarah. Semoga Allah merahmati ayah. Semoga rohnya ditempatkan dalam orang-orang yang Soleh. Ayah sangat gigih.

2 comments: